Wednesday, April 7, 2010

Lepak di McD Ampang

Pada malam jumaat lepas, aku singgah kedai makanan segera McDonald-Petronas Ampang berhampiran Ampang Sport Planet. Tujuan aku cuma nak hantar semula soalan kaji selidik yang kawan aku suruh isi. Waktu itu dalam pukul 9.15 PM aku tunggu kawan aku ini seorang diri di meja bahagian luar McDonald. Tiba-tiba ada seseorang menyapa aku dari belakang,

"Assalamualaikum?"

"Walaikumsalam......."jawab aku.

"Bang....ini"sambil dia hulurkan aku buku-buku doa dan kitab-kitab yasin.

Aku macam dah terbiasa bila ada sesiapa datang jual barang pada aku, aku akan cakap "tak apa terima kasih." Tapi kali ini terima kasih aku tu macam beri kesan pada aku sebab yang datang pada aku kali ini adalah seorang budak perempuan bertudung pink dalam lingkungan 8 tahun memegang lebih kurang 10 buah buku agama(penuh satu genggaman) sambil menyinsing silang sebuah beg kecil mungkin untuk mengisi wang jualan dia. Terima kasih kali ini seolah-olah aku menghiraukan pada orang yang memerlukan.

Lalu apabila terkeluarnya kata terima kasih aku itu, budak kecil perempuan ini tadi berlalu pergi sambil menyanyi mencari kalau-kalau ada sesiapa yang sudi membeli buku-buku yang dia jual seolah-olah dia tak mengerti kesusahan yang dia lalui. Mungkin pada waktu-waktu sebegini kanak-kanak sebaya dengannya sedang menonton tv atau bermain-main dengan alat mainan. Sedih aku melihat budak perempuan ini berjalan ke arah orang ramai yang sedang duduk menjamu selera makanan yang sedap-sedap namun tiada yang mampu untuk membantu budak kecil perempuan ini.

Pada saat ini aku terfikir mungkin ada "mata" yang memerhati dan menjaga budak ini dari jauh, tapi semua itu aku campakkan sebab bila aku lihat budak ini dari jauh terasa sayu kerana terpaksa membesar dan bekerja pada usia sebegini kecil. Pada waktu aku seusia dengan budak ini aku masih lagi ligat bermain, berlari-lari kesana kesini tanpa menghiraukan susah payah kehidupan, hanya tahu makan dan tidur. Aku hanya mampu melihatnya dari jauh tanpa mampu untuk melakukan apa-apa.

Terkejut aku apabila budak kecil ini tadi pergi ke arah pasangan cina yang sedang duduk makan. Apa la sangat budak umur 8 tahun ini tahu tentang agama, hanya yang dia tahu dia dapat menghabiskan jualannya, itu saja. Saat budak kecil ini berlalu melepasi pasangan dia ini tadi, terjatuh semua buku dan kitab agama yang dia pegang dari tangan. Lelaki cina dari pasangan ini dari datang membantu mengutip satu persatu buku yang terjatuh. Aku hanya lihat dari jauh budak kecil ini mencium satu persatu buku dan kitab yang jatuh ke dahi, hidung dan mulut, perkara rutin yang kita biasa lakukan apabila kita menjatuhkan ayat suci Al-Quran. Terdapat 10 buah buku maka 10 buah bukulah yang dia lakukan.

0 comments:

Post a Comment